Warkah Ramadhan

Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." Ibn Mas'ud r.a

Ahad, Mei 22, 2011

Jawatan Kosong Dalam Sektor Perladangan


Masih terdapat 3,548 kekosongan jawatan yang perlu diisi dalam sektor perladangan pada ketika ini, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, kekosongan jawatan itu merangkumi peringkat bukan eksekutif seperti juruteknik, jurukimpal, penyelia operasi sehingga ke peringkat Pengurus Ladang.

Katanya, sesetengah jawatan berkenaan memerlukan kelulusan dan kemahiran tertentu yang boleh diperoleh daripada pelatih Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (Impac).
"Kerajaan akan terus berusaha mewujudkan pekerja mahir berkualiti bagi memenuhi pasaran pekerjaan di sektor perladangan dengan memberikan latihan dan mengadakan pelbagai kursus dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika merasmikan program "Hello Komoditi" kementerian itu di sini.

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Bahagian Penggalakan Inovasi dan Modal Insan Industri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Aknan Ehtook.

Hamzah berkata, sektor perladangan mampu memberikan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat terutama golongan belia.

Beliau berkata, komoditi getah, sawit, koko, lada hitam dan tanaman baru seperti kenaf memberikan sumber pendapatan lumayan kepada pekebun kecil selain meningkatkan hasil negara.

"Pendapatan eksport negara daripada produk berasaskan komoditi terbabit menghasilkan pendapatan bernilai RM65.3 bilion pada 2005 dan meningkat kepada RM113 bilion tahun lepas," katanya.

"Ini adalah peningkatan sebanyak 73 peratus bagi tempoh lima tahun," katanya.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...