Warkah Ramadhan

Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." Ibn Mas'ud r.a

Selasa, September 27, 2011

Hantu Bonceng.... menghina Islam?

(Bahan dari sumber yang boleh dipercayai untuk dikongsikan)

Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-unsur Yang Bercanggah Dengan Aqidah dan Amalan Ahli Sunnah Waljamaah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak diendahkan langsung.


Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah "Hantu Bonceng" yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak [Zizan RL].
Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. Sementelah pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.

Allah Ta'ala berfirman di dalam Surah At-taubah, Ayat 65:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Dan jika engkau bertanya kepada mereka, tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

Samaada perbuatan tersebut dibuat dengan sengaja ataupun tidak, namun sensitiviti ummah yang cintakan Islam terus dicabar. Janganlah sehingga azab Allah diturunkan ke atas mereka yang mempermainkan Nabi-Nya barulah pihak JAKIM mahupun FINAS ingin bertindak.

Takutlah ancaman Allah di dalam Surah Al-An'am, ayat 10:
وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

Malah, filem tersebut memaparkan berulang kali perkara khurafat dan tahyul (seperti berbogel untuk menyebabkan hantu lari dan sebagainya). Terdapat juga babak yang menunjukkan kurangnya sensitif kepada perkara yang mungkin menimbulkan fitnah seperti babak tinggal bersama bukan mahram di sebuah rumah, serta pakaian yang seolah-olah mempunyai lambang salib (kemeja-t bertulisan "Death Note" oleh Zizan memasuki surau).

Sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF ataupun diperingkat FINAS sendiri mengenai filem-filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini, sehingga masih banyak adegan yang "menyenakkan mata" dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan?

Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa -apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Apalah erti dan makna pihak berkuasa agama ? Sebelum ini, JAKIM seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorandum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara.

Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen samaada melalui saluran RTM ataupun saluran swasta seperti Astro terus bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama. Sejak tahun lalu, sebanyak 22 filem bergenre seram yang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, berunsurkan khurafat dan tahyul.

Kerajaan juga selayaknya serius melihat perkara ini. Jangan biarkan filem menjadi medium untuk menghina, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini. Jika Isu Gereja dan isu komunis diberi perhatian berat mengapa tidak dalam perkara ini? Pihak berkuasa agama dilihat tidak tahu dan tidak berupaya bertindak selayaknya.

Perkara ini sangat dikhuatiri sekiranya tidak ada satu garis pandu jelas yang berlandaskan Syariat Islam yang wajib menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem-filem yang lebih "luar biasa" akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak-pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku. Bukan sahaja kepada filem tempatan yang semakin hari semakin memperlihatkan kepada umum bagaimana hilangnya nilai seni, moral, adab serta adat ketimuran tetapi juga kepada filem luar [asing] yang mengundang kepada keruntuhan moral, akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat kita.

Mereka yang terlibat secara lansung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar perlu merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia [JAKIM] terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri.

JAKIM diminta supaya bertindak lebih tegas terhadap mana-mana penerbitan filem mahupun drama yang bercanggah dengan Syariat Islam dan garis panduan yang telah dikeluarkan. Apalah gunanya garis panduan setebal 44 muka surat jika tiada tindakan atau penguatkuasaan yang dilakukan.

Para artis perlu meneliti serta membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur-unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada para ulamak . Perkara ini juga mesti dilakukan oleh pihak penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini.

Sudah sampai masanya, pengarah dan penerbit filem negara menghasilkan filem bermutu tinggi, mendidik minda dan sosio budaya masyarakat serta mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa. Bebaskan industri filem negara dari serkap filem yang rendah mutu, terkepong dalam realiti masyarakat yang tidak sepatutnya dibanggakan dan filem yang mengeksploit batang tubuh wanita, keseksian, kelucahan dan ketahyulan sebagai azimat pelaris tayangan di pawagam.

Perkara ini perlu diberi peringatan memandangkan berkarya juga berkait rapat dengan dosa pahala dan syurga neraka. Karya juga sebahagian dari medium pendidikan umum masyarakat yang berkesan kepada masyarakat. Maksudnya, berkarya dalam pelbagai lapangannya mestilah mengambil kira keredhaan Allah swt, bukan hanya menilai keuntungan dan sambutan bertaraf pecah gudang.

Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata - mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem di bioskop antarabangsa.

Dari sumber yang boleh dipercayai.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...