Warkah Ramadhan

Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." Ibn Mas'ud r.a

Jumaat, Ogos 21, 2009

Puasa sempurna bentuk peribadi mukmin muttaqi

HANYA tinggal beberapa hari lagi sebelum kita diberi keizinan Allah untuk
bertemu Ramadan al-Mubarak yang mewajibkan untuk kita melaksanakan Rukun
Islam ketiga iaitu berpuasa. Allah berfirman bermaksud: “Hai orang beriman
diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu
supaya kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Ada beberapa peringkat harus diberi perhatian supaya termasuk dalam golongan
puasa terbaik. Ini diingatkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam
sabdanya bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa mereka tidak mendapat
apa-apa balasan melainkan lapar dan dahaga. ”

Peringatan ini jelas menunjukkan kita perlu berpuasa seperti dikehendaki
Islam supaya mendapat balasan Allah seterusnya menjadikan kita orang
bertakwa.

Puasa peringkat pertama, puasa orang awam yang sekadar menahan diri daripada
makan, minum dan tidak melakukan persetubuhan ketika siang. Namun
pancaindera lain seperti mata, telinga, tangan, kaki, mulut, pemikiran dan
lebih penting hati tidak dipelihara malah berlipat ganda melakukan perkara
negatif yang mengurangkan pahala.

Puasa peringkat kedua ialah puasa ahlul khusus iaitu mereka menahan diri
daripada makan, minum dan tidak mengikuti kemahuan syahwat serta menjaga
anggota zahir lain daripada perbuatan yang keji. Namun mereka lalai
mengingati Allah. Jasad saja yang berpuasa tetapi unsur terpenting iaitu
hati mereka abaikan sehingga terus alpa terhadap Allah.

Puasa peringkat ketiga dan terbaik ialah puasa ahli khusus/ahlul ma’rifah
iaitu mereka meninggalkan semua perkara di atas di samping menjaga hati
supaya tidak lalai mengingati Allah. Segala amalan dilakukan semata-mata
untuk mendapatkan keredaan Allah. Inilah martabat ibadah puasa nabi dan
sidikin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah.

Konsep asas Allah mewajibkan kita berpuasa ialah supaya dapat menjadi hamba-
Nya yang bertakwa. Menerusi puasa, beberapa panduan serta larangan ketika
melaksanakan ibadah melahirkan rasa syukur kepada Allah, sifat kasih sayang
sesama insan, perasaan yang mendorong kita saling membantu lebih-lebih lagi
mereka yang memerlukan perhatian.

Puasa sempurna dapat melahirkan insan muttaqi iaitu modal insan yang amat
bernilai dan mampu berkhidmat untuk agama Allah dengan penuh penghayatan dan
mereka adalah nukleus bagi pembangunan mapan ummah.

Inilah golongan yang berjaya dilahirkan Muhammad SAW iaitu sahabat. Sifat
serta kriteria sahabat dulu semakin terhakis kerana kehidupan hari ini
berdepan pelbagai cabaran. Ada yang gugur dengan percubaan dan ada pula yang
berusaha gigih menghadapinya. Ketibaan Ramadan kali ini adalah kesempatan
terbaik untuk berusaha menggilap kembali semangat serta kesungguhan yang
tertanam kukuh dan jitu dalam jiwa dan sanubari sahabat Nabi SAW.

Kadangkala sikap menjadi penghalang daripada menjiwai tujuan sebenar
berpuasa. Sikap sebahagian umat Islam pada Ramadan ada yang bersungguh-
sungguh beramal dan ada yang lalai. Masih ada antara kita yang berpuasa
sebagai adat bukan ibadat. Faktor iman dan mengharapkan keredaan Allah tidak
menjadi pendorong untuk melaksanakan ibadah.

Ada yang berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak menghalang
daripada melakukan perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu
atau berkata lucah. Ada yang mengambil ringan sahur sehingga meninggalkannya
sedangkan banyak hadis menyatakan kelebihan sahur. Ada yang bangun lewat
sehingga tertinggal solat Subuh.

Ibadat solat fardu dan sunat hanya dilakukan pada Ramadan serta bersungguh-
sungguh mengerjakan tarawih dan witir tetapi meninggalkan solat fardu.
Bersungguh dalam pelaksanaan ibadat pada Ramadan termasuk membaca al-Quran
untuk diri sendiri, tetapi mengabaikan pembabitan ahli keluarga untuk sama
beribadah.

Terlalu membandingkan antara imam solat tarawih sehingga sampai pada
peringkat mengumpat dan menghina. Bersungguh-sungguh menghidupkan ibadat
hanya pada awal sehingga pertengahan Ramadan sedangkan banyak hadis
menyatakan kelebihan 10 hari terakhir antaranya lailatul qadar.

Tilawah al-Quran hanya pada Ramadan dan berakhir bersama Ramadan. Rajin
membaca al-Quran, tetapi tidak berusaha memahami dan menghayati kandungannya
sebagai panduan kehidupan seharian. Bersungguh-sungguh melaksanakan puasa,
namun mengabaikan kewajipan lain seperti solat, menunaikan haji, menutup
aurat, menghubungkan silaturahim, menuntut ilmu, menyuruh kepada makruf dan
mencegah kemungkaran.

Tidak bersimpati dan mengambil berat terhadap saudara Islam yang mengalami
penderitaan, kesusahan, kelaparan serta terus dengan sifat bakhil dan
kedekut.

Mensia-siakan fadilat atau kelebihan iktikaf di masjid terutama pada 10
akhir Ramadan. Masa dihabiskan membuat persiapan 1 Syawal. Tidak salah untuk
membuat persiapan tetapi kita terlepas satu masa dan ketika yang afdal
melakukan ibadat.

Ramadan ialah proses membentuk mukmin muttaqi iaitu insan paling mulia di
sisi Allah. Kemuliaan ini tidak diperoleh melainkan dengan usaha dan
mujahadah yang tinggi.



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Biro Laman Web
bp.Pengerusi PNI
JPS Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...