Warkah Ramadhan

Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." Ibn Mas'ud r.a

Selasa, Disember 22, 2009

Didik Anak Dengan Peribadi Muslim

Kewajipan ibu bapa terhadap anak-anaknya ialah memberikan mereka nama yang baik, membaikkan akhlaknya, mengajar membaca dan menulis, mengajar berenang, mengajar memanah, memberikan makanan yang halal lagi baik, dan menjodohkan mereka apabila mereka telah dewasa. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak secara positif, khususnya dalam pembentukan peribadi dengan sifat-sifat seperti berkeyakinan, memuliakan diri sebagai hamba Allah, menjaga nilai harga diri, bersifat benar, berani dan tenang dalam segala keadaan, Beberapa panduan yang disenaraikan di bawah ini mungkin dapat membantu ibu bapa dalam proses membentuk peribadi anak-anak.


1. Panggillah anak-anak dengan nama yang baik. Jika ada anak yang namanya buruk dan tidak menurut Islam, panggillah dia dengan nama yang bagus dan menurut Islam. Janganlah menghina nama anak yang buruk sehingga anak-anak lain akan meniru dan menolok-olokkan serta menimbulkan kedengkian dan pelbagai penyakit hati.

2. Atur jadual kegiatan anak, misalnya dalam hal makan, tidur, mandi atau kegiatan lainnya terutama untuk anak berusia tiga tahun dan ke bawah.

3. Atur jadual makan anak-anak sesuai dengan perbezaan usia. Misalnya, anak-anak yang berusia tiga hingga enam tahun memerlukan sekitar empat kali makan setiap hari dengan jarak empat jam. Jumlah waktu makan akan berkurang seiring dengan pertambahan usia.

4. Biasakan anak-anak tidur lebih awal. Hindarkan tempat-tempat hiburan yang membuatkan anak terlambat tidur atau hiburan yang merosakkan keperibadian anak-anak.

5. Biasakan anak-anak bersikap jujur dan berani. Biasanya, kejujuran dan keberanian itu hanya akan timbul pada diri anak-anak yang telah dibina dengan sifat tersebut sejak awal. Misalnya, ketika anak-anak tidak berani mengaku telah memecahkan sesuatu benda, katakan padanya, "Jika kamu jujur, ibu akan memaafkan kamu." Sebuah hadis menyatakan :
"Janganlah kamu memukul anak kerana memecahkan wadah. Sesungguhnya wadah itu memiliki batas akhir (ajal) seperti halnya ajalmu."

6. Jauhkan diri daripada bertindak kasar terhadap anak-anak. Tindakan kasar hanya akan menimbulkan dendam dan kebencian dalam diri anak, serta kecenderungan untuk bermusuhan dan berbuat kejahatan. Berhubung dengan memukul anak pula, pukulan tidak boleh lebih daripada sepuluh kali. Dalam sebuah hadis ada disebutkan :
"Tiada pukulan yang melebihi sepuluh kali kecuali menyangkut had-had Allah (pelanggaran terhadap Allah)."

7. Biasakan anak-anak mengasingkan duit belanjanya untuk didermakan kepada orang lain. Hal ini akan melatih anak tidak kedekut dan membiasakan mereka beramal.

8. Terapkan sifat amanah sejak awal kepada anak-anak. Biasakan mereka menghormati milik orang lain, misalnya dengan tidak mengambil barang-barang milik rakan mereka.

9. Nasihatkan anak-anak agar dia tidak meniru perbuatan orang dewasa seperti merokok, mengecat kuku, bersolek dan lain-lain.

10. Sentiasa luangkan masa untuk memeriksa penampilan anak-anak, misalnya dalam hal rambut, kuku, gigi, hidung, telinga, pakaian, kasut, kaki dan sapu tangan.

11. Hindari anak-anak daripada terlibat dengan perselisihan orang dewasa, atau kebiasaan wanita yang berborak panjang lebar kerana hal ini akan mempengaruhi dan berbahaya terhadap keperibadian anak-anak.

12. Biasakan agar anak-anak tidak malas atau banyak tidur melebihi waktu yang sepatutnya. Motivasilah agar mereka membesar menjadi anak yang sihat serta sentiasa ceria dan gembira ketika bermain.

13. Perlakukan anak-anak sesuai dengan perwatakannya tanpa menghilangkan hak anak-anak lelaki dan perempuan. Perlakuan menyamakan anak lelaki dan perempuan merupakan tindakan penzaliman atau penyelewengan terhadap fitrah Allah.

14. Bantulah anak mengulang kaji pelajaran dan hafalan. Jika anak kurang menunjukkan minatnya terhadap konsep-konsep ilmu pengetahuan walaupun telah diberi motivasi seperti pemberian hadiah dan pujian, alihkan perhatian mereka kepada perkara-perkara bersifat profesional seperti bidang kerja yang boleh mereka ceburi.

15. Terapkan adab-adab seharian agar menjadi amalan mereka seperti adab makan dan adab tidur disertai dengan doa-doa ketika melakukan sesuatu pekerjaan

16. Pisahkan tidur anak lelaki dan perempuan ketika mereka berusia 10 tahun. Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia 7 tahun dan pukullah mereka jika pada usia 10 tahun mereka meninggalkan solat. Serta pisahkanlah mereka (anak lelaki dari anak perempuan) ketika tidur."

17. Tanamkan dalam jiwa anak-anak kebiasaan untuk menyingkirkan benda-benda bahaya yang menghalangi jalan seperti kaca, sisa-sisa makanan, kayu dan lain-lain dengan membuangnya ke tempat yang selamat.

18. Kenalkan kepada anak-anak cerita-cerita Islam seperti kisah peperangan yang berlaku pada zaman Nabi yang dapat membina sifat berani dalam diri mereka dan kebanggaan terhadap pahlawan-pahlawan Islam.

19. Pastikan anak-anak membaca doa sebelum keluar rumah. Dengan demikian, anak tersebut telah diamanahkan kepada Allah yang tidak mensia-siakan apa yang telah diamanahkan kepadanya. Biasakan juga anak-anak memberi salam ketika keluar rumah.

20. Jauhkan anak-anak daripada bentuk nyanyian yang menyesatkan dan tidak bermanfaat. Biasakan mereka dengan nyanyian atau cerita yang sesuai dengan ajaran Islam. Misalnya nasyid-nasyid yang mengandungi puji-pujian kepada Allah dan Rasulnya."

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...